KUALA LUMPUR – Cabaran Towerthon Menara Kuala Lumpur (KL) edisi ke-17 pada 14 Mei bakal memperkenalkan kategori ‘selebriti’ bagi menghangatkan lagi acara di lokasi tarikan pelancong itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan berkata kategori itu terbuka kepada mana-mana selebriti yang ingin menguji kekuatan fizikal dan mental masing-masing untuk mendaki 2,508 anak tangga menawan puncak Menara KL.
Beliau berkata setakat ini kira-kira 40 penyertaan selebriti diterima dan ia masih dibuka sehingga 5 Mei.
“Acara berprestij ini telah menjadi acara sukan lasak utama Menara KL dan ia bertepatan dengan aspirasi mempromosikan menara ini sebagai destinasi pilihan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Meor Shahril berkata larian yang dibahagikan kepada sembilan kategori itu menawarkan hadiah keseluruhan RM48,500 dan dijangka menarik kira-kira 5,000 peserta dari dalam dan luar negara, antaranya Jerman, Kenya, Amerika Syarikat dan Perancis.
Sembilan kategori yang dipertandingkan adalah terbuka lelaki (18 tahun ke atas), junior veteran lelaki (40 hingga 49 tahun), senior veteran wanita (50 tahun ke atas), terbuka wanita (18 tahun ke atas), veteran wanita (35 tahun ke atas), junior lelaki (13 hingga 17 tahun), junior perempuan (13 hingga 17 tahun), orang kurang upaya (18 tahun ke atas) dan selebriti (18 tahun ke atas).
Sejak pertama kali dianjurkan pada 1998, rekod terbaik yang dicatat peserta negara setakat ini ialah 11 minit 56 saat bagi peserta lelaki manakala peserta wanita mencatat masa terbaik 14 minit 51 saat.
Dalam menyemarakkan lagi ‘demam’ Sukan SEA yang dihoskan Malaysia tahun ini, peserta individu lelaki dan wanita Malaysia yang mencatat rekod terbaik akan membawa pulang wang tunai tambahan RM2,000 setiap seorang.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula akan mengadakan perlumbaan ‘Bomba Tower Running’ pada 13 Mei sebagai acara sampingan.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Menara KL atau melalui laman web www.menarakl.com.my. – BERNAMA

