SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia membuka semula kertas siasatan yang ditutup berhubung kes pemilikan harta luar biasa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut portal tempatan AgendaDaily yang memetik laporan sebuah akhbar utama, kes itu melibatkan beliau sewaktu pernah menjadi Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, 22 tahun lalu.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah berkata, meskipun kes itu telah ditutup oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR sebelum menjadi SPRM) pada 1997, namun siasatan kes itu boleh diteruskan semula.
Ia malah boleh dibuka kembali sekiranya terdapat bukti-bukti baharu yang mengaitkan aset mewah dimiliki Menteri Besar Selangor itu diperoleh secara tidak mengikut peraturan ditetapkan dalam kes berprofil tinggi berkenaan.
“Tiada masalah jika ada maklumat baharu. Namun untuk siasat semula kes itu, ia kena dibawa ke Jawatankuasa Penilaian Maklumat SPRM dipengerusikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Azam Baki,” katanya.
Wan Ramli mengulas gesaan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan yang mahu SPRM membuka semula siasatan kes pemilihan harta luar biasa Mohamed Azmin setelah ditutup BPR tanpa alasan munasabah pada 1997.
Menurut mereka, siasatan semula perlu diteruskan susulan bocornya dokumen sulit siasatan BPR ke atas Mohamed Azmin yang ada bukti pemilikan aset dalam bentuk hartanah, kereta dan saham melibatkan jumlah jutaan ringgit.
Malah, berdasarkan dokumen tersebut, siasatan pihak BPR ketika itu turut mengesyaki wang dan harta dimiliki oleh Mohamed Azmin; yang dirujuk sebagai ‘YDS’ (yang disiasat) adalah datang daripada hasil perlakuan rasuah.
BPR turut mengesyorkan beliau dikenakan tindakan tata tertib oleh jabatannya. Anehnya, ia dihentikan pada 1997 atas arahan Ketua Pengarah BPR ketika itu yang mengarahkan kertas siasatan kes di-‘Kemas Untuk Simpan’ (KUS).
Mengulas lanjut, Wan Ramli berkata, SPRM akan membuat penilaian terhadap sebarang maklumat baharu membabitkan kes Mohamed Azmin sama ada perlu dibuka semula atau dikategori sebagai ‘Kertas Siasatan Ditutup’.
“Jika kertas siasatan itu dibuka kembali dan kes tersebut berlaku di Selangor, maka SPRM negeri akan menjalankan siasatan atau sebaliknya” ujarnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA