GEORGE TOWN – Anggota Parlimen Batu Kawan, P.Kasthuriraani dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini untuk memberi keterangan berhubung penglibatannya dalam sebuah forum di Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini tahun lepas.
Ahli politik DAP itu merupakan antara panel dalam forum Deklarasi Rakyat Suara Anak Muda Selamatkan Malaysia pada 12 April 2016.
Kashthuriraani berkata beliau hadir bersama peguamnya, R.S.N Rayer yang juga ADUN Seri Delima memberi keterangan kepada polis kira-kira sejam.
“Saya difahamkan ada orang buat laporan polis berhubung forum itu dan saya diminta datang ke IPD Timur Laut untuk diambil keterangan bagi membantu polis menyelesaikan siasatan dan akan beri kerjasama sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ditanya sama ada program itu berkemungkinan melanggar Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, beliau mendakwa, pihak polis tidak memaklumkan sebarang maklumat lanjut kepadanya.
Difahamkan, Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim juga diarah hadir ke IPD Timur Laut esok untuk memberi kenyataan dipercayai berhubung program yang sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan polis mengambil keterangan Anggota Parlimen Batu Kawan itu hari ini dan beberapa lagi ahli politik yang terlibat dalam program tersebut akan dipanggil bagi membantu siasatan.
“Mereka dipanggil untuk membantu siasatan kerana siasatan awal mendapati tiada sebarang notis permohonan diterima sebelum penganjur mengadakan forum dan ia jelas melanggar Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman seperti ditetapkan,” katanya. – BERNAMA