KUALA LUMPUR – Seorang peniaga didenda RM4,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi kesalahan mengaibkan seorang anggota polis wanita dengan menghantar gambar lucah melalui telefon miliknya.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nasrul Wafiy Harizan, 25, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengaibkan kehormatan polis wanita berumur 20-an itu dengan menghantar gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah taman permainan di Damai Indah, Cheras di sini, pada 5.16 petang, 28 Mac lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian semasa wanita itu sedang bertugas, dia telah menerima pesanan ringkas berbentuk gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp daripada satu nombor telefon yang tidak dikenali.
Lelaki itu memperkenalkan diri sebagai sepupu kepada seorang suspek yang polis wanita itu sedang siasat berhubung kes pukul isteri dan mengugut akan menyebarkan nombor telefonnya bagi tujuan mengganggu tugasnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kepentingan keselamatan mangsa manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung dua adik yang masih bersekolah. – BERNAMA

