IPOH – Program Permukiman Menteri Besar akan diteruskan ke daerah ketujuh di Perak iaitu Hilir Perak, yang mencakupi sebahagian kawasan Parlimen Teluk Intan dan Pasir Salak, mulai 18 hingga 22 April ini.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sebanyak 108 program diadakan dan dibahagikan mengikut tanggungjawab Exco kerajaan negeri dan beliau sendiri sebagai menteri besar.
“Program yang diatur adalah berdasarkan teras utama termasuk pertanian, pembangunan luar bandar, hal ehwal wanita, kebajikan, kesihatan dan keselamatan selain isu tanah dan kemudahan infrastruktur,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Beliau berkata menteri besar, Exco kerajaan negeri dan ketua jabatan akan menghadiri pelbagai aktiviti dan program bersama rakyat sepanjang pemukiman itu bagi mengeratkan hubungan selain menyelesaikan masalah rakyat di kawasan berkenaan.
“Masyarakat pelbagai kaum termasuk Orang Asli diharap dapat turut bersama-sama menjayakan program ini nanti. Begitu juga dengan semua Anggota Dewan Undangan Negeri yang terlibat,” katanya.
Zambry turut menafikan dakwaan pembangkang kononnya program pemukiman itu bermotifkan politik.
“Ia telah dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 hingga kini. Mereka (pembangkang) boleh kata apa-apa, yang penting kita yang bertanggungjawab terhadap rakyat perlu turun padang untuk buat kerja,” katanya. – BERNAMA

