SEREMBAN – Lebih 30 pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan serta anggota Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Negeri Sembilan melawat Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini.
Lawatan diketuai Timbalan Ketua Polis negeri SAC Muhamad Zaki Harun itu diadakan sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-210 tahun ini bagi mengeratkan hubungan antara polis, pihak hospital dan masyarakat.
“Penganjuran lawatan ini menjurus kepada program kemasyarakatan yang bukan sahaja tertumpu kepada pesakit dalam kalangan anggota polis dan keluarga mereka, malah ia turut melibatkan pesakit kanak-kanak,” katanya pada majlis itu.
Dalam lawatan kira-kira dua jam itu, mereka beramah mesra dengan pesakit di wad dewasa lelaki dan wad kanak-kanak selain menghulurkan sumbangan hamper kepada para anggota polis yang dirawat di hospital berkenaan.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Perkep negeri Suzana Yashin yang juga isteri Muhamad Zaki. – BERNAMA