KUALA LUMPUR – Skuad terjun Malaysia mungkin pulang dengan tangan kosong pada Siri Terjun Dunia FINA yang sedang berlangsung di Kazan, Rusia.
Dalam acara 10m platform individu wanita malam ini, penerjun negara Nur Dhabitah Sabri dan Pandelela Rinong terus menampilkan prestasi mengecewakan apabila menamatkan cabaran di dua kedudukan terbawah pada pusingan akhir.
Nur Dhabitah menduduki tempat kelima selepas mengumpul 333.75 mata, manakala pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Pandelela di kedudukan keenam dan terakhir setelah mengutip 325.70 mata.
Gergasi dunia acara terjun, China meneruskan penguasaan pada kejohanan itu apabila Ren Qian dan Si Yajie, masing-masing meraih pingat emas dan perak setelah mengumpul 394.35 dan 382.90 mata.
Penerjun Mexico, Viviana Del Angel Peniche yang mengutip 349.55 mata meraih pingat gangsa, manakala atlet tuan rumah, Meaghan Benfeito di kedudukan keempat selepas mencatat 344.95 mata.
Pada hari pertama kejohanan, semalam, gandingan Nur Dhabitah/Pandelela menduduki tempat keempat dalam acara 10m platform seirama wanita, manakala bagi acara 3m papan anjal seirama wanita, pasangan Ng Yan Yee/Nur Dhabitah menamatkan cabaran di tempat kelima.
Pada hari terakhir esok, Ng menjadi wakil tunggal negara bersaing dalam acara 3m papan anjal individu wanita. – BERNAMA