PATTANI – Pihak berkuasa Thailand menahan dua lelaki dipercayai terlibat dengan kejadian pengeboman lebih 50 tiang elektrik di tiga wilayah selatan negara itu pada 6 dan 7 April lepas.
Timbalan Jurucakap Pusat Pemerintahan Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Kol Yuttanam Pechmuang berkata, penahahan suspek di dua lokasi berasingan itu adalah hasil maklumat orang awam dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta penemuan DNA suspek di lokasi kejadian.
DNA milik salah seorang suspek ditemukan di salah satu lokasi kejadian di Mayo, Pattani dan seorang lagi DNA miliknya dijumpai di Raman, Yala.
“Kedua-dua mereka sedang ditahan bagi membantu siasatan dan seterusnya membawa kepada penangkapan lebih ramai suspek,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pihak berkuasa turut memburu seorang lagi suspek yang berasal dari Sungai Golok, Narathiwat, katanya.
Dalam kejadian yang berlaku itu, sebahagian besar wilayah selatan Thailand terputus bekalan elektrik dan terpaksa bergelap selepas mereka tidak dikenali menumbangkan tiang-tiang elektrik itu menggunakan bom-bom buatan sendiri. – BERNAMA
