BERLARUTAN sejak 2015, dan berpanjangan pada Musim Liga Malaysia 2017 – pasukan bolasepak The Red Warriors terus diburu masalah kewangan.
Ia bukan baharu. Ia isu yang sudah dihidu sejak penghujung tahun lalu. Ketika itu Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) di ambang dilema untuk meneruskan penyerataan dalam Liga M berikutan isu tiada penajaan.
Isu kewangan yang meruncing antara punca Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan Presiden KAFA. Annuar buntu berikutan masalah kelangsungan sumber penajaan. Paling kompleks, KAFA satu-satunya pasukan Liga M yang langsung tidak menerima geran bantuan Kerajaan Negeri.
Jangan salahkan Kerajaan Negeri. Limitasi kantung perbendaharaan negeri harus mengutamakan bajet pembangunan berkepentingan awam.
Jadi – apa jalan keluar? Setelah dua bulan gaji pemain TRW dilapokan tertunggak bagi Januari dan Februari. Kini Mac pun sudah berlalu.
Tindakan menanti pemberontakkan pemain untuk meninggalkan TRW pada sesi perpindahan Mei nanti bukan jalan keluar. Membiarkan Kafa merudum juga bukan tindakan bijak.
Langkah pertama ialah tindakan dan sikap peminat. Kelantan perlukan kekuatan dalaman. Pada saat ini, aset utama pasukan ialah penyokong. Jangan tinggalkan TRW sendirian. Peminat dan pemain sama-sama mendokong maruah bendera dan jersi negeri. Jadi penuhi stadium. Ini detik paling menguji – anak Kelantan perlu bersatu hati.
Kedua – respon pantas sektor swasta terutama GLC. Tindakan menyalurkan tajaan tidak menjadikan nilai GLC (Top 22) sebagai bukan nasional. Peminat mahukan Ops Selamatkan Kelantan dijalankan secara nasional. Tanpa Kelantan, bolasepak Malaysia hilang identiti.
Jadi Celcom, Petronas, Khanazah, Rapid Group, TNB, TM, Plus, Maybank, CIMB dan MRT Corp. sangat dinantikan. Kehadiran GLC pasti diraikan pecinta bolasepak nasional.
Jangan seret isu lapuk dengan mentaliti sempit berkaitan semangat kenegerian. Ini perjuangan menyelamatkan asas bolasepak tempatan yang sejarahnya bermula dengan 13 pasukan utama negeri.
Ketiga – tindakan berjiwa besar Presiden FAM. Sudah masanya TMJ memulakan langkah besar yang pertama dalam kepimpinannya. Jangan hanya mimpikan Piala Dunia dalam menyusun prospeks masa depan. Prospek masa depan bermula dengan menjaga aset domestik. Bantuan FAM paling prominan dalam isu menyelamatkan krisis KAFA.
Kalau TMJ selaku Presiden ada masalah jurang persefahaman dengan KAFA, inilah masa untuk membaikinya. Pemimpin berjiwa besar tidak membawa perasan dendam ke junjungan kuasa. Apabila berkuasa, tertib utama pemimpin ialah berlaku adil pada semua.
Kepada pemain skuad TRW, teruskan bermain dan mengutip mata. Kami peminat dari kalangan bukan anak Kelantan akan bersuara dan berdoa: Bolasepak sebahagian cara kita bersaudara. Mana mungkin kita melihat saudara sukan kita dibiarkan tersungkur. Kita bangsa pelbagai negeri yang pernah bersatu saat berjuang mencari titik kemerdekaan. Maka selamanya kita bangsa Malaysia.
Ayuh! Kita laungkan suara: Selamatkan TRW! – MYNEWSHUB.CC