HULU SELANGOR – Seorang peluncur udara dilaporkan hilang ketika sedang meluncur dari Bukit Batu Pahat ke Stadium Millennium, Kuala Kubu Baru di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R.Supramaniam berkata Mohd Rosely Azli, 53, gagal dikesan sehingga ini selepas terjun meluncur bersama enam lagi paraglider pada pukul 2 petang semalam.
“Enam paraglider terbabit turun dengan selamat dan ketua kumpulan terbabit sempat berhubung dengan Rosely sebelum cuaca berubah secara mendadak dan Rosely dipercayai ditarik masuk ke dalam kepulan awan sebelum terputus hubungan dan hilang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebanyak 50 anggota daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Daerah Hulu Selangor terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak semalam.
Supramaniam berkata operasi SAR itu turut melibatkan penggunaan tiga buah helikopter masing-masing milik polis, bomba dan tentera selain bantuan tiga sukarelawan daripada kelab paramotor untuk bersama-sama membantu usaha mengesan Rosely.
“Usaha mencari dan menyelamat telah dimulakan semula pada jam 8 pagi ini selepas ditunda pada jam 8 malam semalam disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan dan akan melibatkan radius pencarian seluas 10 kilometer,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit supaya tampil membantu pihak polis.
Sementara itu, anak saudara Rosely, Mohamad Syaifullah Jamaludin, 30, memaklumkan bahawa dia menerima panggilan daripada pihak berkuasa mengenai kejadian itu pada jam 6.30 petang semalam.
Terkejut dengan kejadian menimpa bapa saudaranya, dia mengakui bahawa Rosely adalah seorang yang sangat meminati sukan ekstrem seperti paragliding.
“Dia sebelum ini bergiat aktif dalam sukan paramotor sebelum beralih ke sukan paragliding dan memang selalu menjalankan aktiviti paragliding tersebut di bukit berkenaan (Bukit Batu Pahat),” katanya.
Ketika kejadian mereka terbang dalam ketinggian 4,000 kaki sebelum enam yang lain mendarat dengan selamat pada jam 2.45 petang. – BERNAMA

