KUCHING – Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mara mudah ke pusingan suku akhir selepas menewaskan pemain Hong Kong, Hu Yun, pada Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata hari ini.
Di hadapan ribuan penyokong yang memenuhi Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini, Chong Wei yang juga pilihan pertama kejohanan itu mempamerkan aksi tangkas untuk menundukkan Hu Yun, 35, dalam perlawanan ‘straight set’ selama 27 minit dengan catatan 21-8, 21-6.
Pada perlawanan suku akhir esok, Chong Wei akan berdepan pemain muda Korea Selatan, Jeon Hyeok-Jin, 21, yang menduduki ranking ke-49 dunia.
Hyeok-Jin telah menewaskan pemain Perancis, Brice Leverdez, dengan catatan 21-13, 21-10.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Chong Wei berkata beliau gembira dengan kemenangan hari ini hasil tumpuannya semasa permainan dan berusaha menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
“Mengenai lawan saya pada suku akhir, saya tidak boleh memandang rendah pemain Korea Selatan itu…lagi pun ia pertemuan kali pertama kami esok,” katanya.
Hasrat melihat lebih ramai pemain negara layak ke suku akhir tidak kesampaian apabila empat lagi wakil gagal melepasi halangan pusingan kedua masing-masing.
Beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean hampir mengejutkan pilihan keempat dari China yang juga beregu nombor lima dunia, Chen Qingben-Jia Yifan sebelum tewas 17-21, 21-18, 23-25 dalam aksi yang berlarutan selama 79 minit.
Mei Kuan berkata walaupun tewas mereka puas hati kerana inilah persembahan terbaik yang pernah dipamerkan gandingan itu.
“Kami hampir menang tetapi sedikit kesilapan menidakkan peluang kami ke suku akhir. Kami pernah tewas kepada pasangan sama di Terbuka Macau dan perlawanan menentang mereka adalah yang kami nanti-nantikan,” katanya.
Meng Yean berkata pertahanan yang ditampilkan mereka malam ini baik tapi aspek serangan masih perlu diperbaiki.
Laluan beregu lelaki Chooi Kah Ming-Low Juan Shen pula disekat pasangan dari China yang juga pilihan ketiga, Chai Biao-Hong Wei, apabila tewas mudah 6-21 pada set pertama, dan bangkit memberi tentangan pada set kedua sebelum dikalahkan 19-21.
Satu lagi beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang melakar kejutan menyingkirkan pilihan keenam Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding semalam, gagal menampilkan aksi terbaik hari ini.
Yew Sin-Ee Yi gagal menyekat kemaraan gandingan China, Fu Haifeng-Zheng Siwei apabila tewas 12-21, 11-21 dalam tempoh 23 minit.
Sandaran negara dalam acara perseorangan wanita menerusi Goh Jin Wei juga hampa selepas bekas juara remaja dunia itu tewas mudah 14-21, 21-12 kepada pemain China, Chen Yufei dalam masa 37 minit.
Jin Wei yang kecewa dengan kekalahan tersebut berkata dia bermain agak berhati hati kerana takut kecederaan kakinya berulang.
“Tapi itu bukan alasan saya kalah malam ini kerana persembahan saya sememangnya di bawah tahap kemampuan sebenar. Saya akan cuba bermain lebih baik di kejohanan akan datang termasuk di Terbuka Singapura,” katanya.
Sementara itu, jaguh China, Lin Dan yang juga pilihan ketujuh berjaya melangkah ke suku akhir dan berkata beliau bersemangat hasil motivasi serta sokongan diberikan penyokong.
Ketika ditanya sama ada beliau mahu beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Jepun, Lin Dan berkata kejohanan itu masih jauh dan ketika ini dia hanya mempunyai program yang dirangka untuk tempoh enam bulan atau setahun.
“Masih belum fikirkan tentang Tokyo 2020, terlalu jauh. Ketika ini saya cuba kejar mata untuk layak ke Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland Ogos depan,” katanya yang kini menduduki ranking keenam dunia.
Lin Dan melangkah ke suku akhir selepas mengetepikan cabaran pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk 21-8, 21-13. – BERNAMA

