KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 peratus kawasan yang mengalami gangguan bekalan air di Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam telah pulih sepenuhnya sehingga 10 pagi tadi.
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam kenyataan hari ini berkata segala usaha sedang dilaksanakan untuk mempercepatkan pemulihan bekalan air ke kawasan lain secara berperingkat susulan gangguan bekalan air akibat paip pecah di Sungai Buloh semalam.
Menurut kenyataan itu, bekalan air bantuan masih dihantar melalui lori tangki air ke kawasan yang memerlukannya dan akan diteruskan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.
Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai status pemulihan, orang ramai boleh merujuk di www.syabas.com.my atau aplikasi telefon pintar ‘mySyabas’. – BERNAMA

