KUALA LUMPUR – Ekoran sambutan d luar jangkaan, penumpang Komuter laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth, tidak lagi dibenarkan membawa basikal dalam tren bermula 1 Mei ini.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan berkata, penguatkuasaan itu bertujuan menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang berikutan peningkatan jumlah penumpang sejak akhir-akhir ini.
Ketika ini, bilangan pengguna sudah mencecah lebih 11,000 orang sehari bagi laluan berkenaan berbanding pada awal perkhidmatan Komuter diperkenalkan untuk sektor itu, hanya 500 orang penumpang dicatatkan sehari.
Pihak KTMB mula membenarkan penumpang membawa basikal sendiri dalam koc Komuter untuk berulang-alik antara rumah dan tempat kerja melalui program khas Ride & Ride, yang dilancarkan pada 1 Jun 2016 lalu.
Program tersebut bertujuan untuk menggalakkan rakyat berpendapatan rendah menggunakan perkhidmatan awam khususnya tren milik KTMB, dengan membawa basikal mereka sendiri ke dalam koc Komuter yang tertentu.
Sejak program Ride & Ride diperkenalkan, jumlah penumpang yang dikesan membawa basikal dalam tren Komuter di Sektor Utara meningkat, dengan sejumlah 10,173 orang dicatatkan bagi tempoh Jun 2016 hingga Mac tahun ini.
Pengguna basikal malah sering menggunakan tren komuter untuk aktiviti berbasikal berkumpulan membabitkan beberapa destinasi popular dalam kalangan mereka iaitu di stesen Butterworth, Taiping, Gurun dan Padang Besar.
Pihak KTMB menerusi kenyataan tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada pelbagai persatuan, kumpulan dan individu berbasikal yang menyokong dan terus menggunakan perkhidmatan Komuter Sektor Utara.
Baca: Tren Laris, KTM Tambah Lagi 22 Unit Komuter Baharu
Juga: Bunyi Amat Senyap, Punca Ramai Maut Digilis Tren?

“Kami bagaimanapun memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku berikutan perubahan syarat tersebut. Hal ini demi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang yang tidak berbasikal pada masa depan,” katanya.
Laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth sejauh 158 kilometer yang melibatkan 13 buah stesen diperkenalkan KTMB mulai 1 Januari 2016 selepas projek landasan berkembar elektrik siap dibina di seluruh wilayah Utara.
Namun, perubahan syarat berkenaan sebenarnya tidak membabitkan laluan Butterworth-Padang Rengas-Butterworth sejauh 114 kilometer melibatkan lapan buah stesen yang dilancarkan pada 11 September 2015 lalu.
Perkhidmatan Komuter mula dirasmikan pada 14 Ogos 1995 yang ketika itu hanya melibatkan laluan Sektor Tengah antara Tanjung Malim, Perak dan Tampin, Negeri Sembilan serta Batu Caves dan Pelabuhan Klang di Selangor.
Kini Komuter menghubungkan 79 buah stesen dengan 62 tren jenis EMU tiga gerabak dan 38 tren Class 92 enam gerabak. Sektor Selatan pula bakal diperkenalkan menjelang 2020 antara Gemas dan Johor Bahru Sentral.
Untuk rekod, program Ride & Ride membolehkan penumpang membawa basikal masuk ke dalam gerabak kepala dan ekor masing-masing dirujuk sebagai koc A dan F daripada enam buah koc bagi setiap set tren Komuter.
Basikal jenis lipat dibenarkan dibawa sepanjang waktu perjalanan manakala basikal biasa yang tidak boleh dilipat hanya dibolehkan antara 9.30 pagi hingga 4 petang dan 8 malam hingga 12.30 tengah malam pada hari bekerja.
Untuk operasi pada hari hujung minggu dan cuti umum, basikal biasa hanya diizinkan masuk koc antara tempoh pukul 8.30 pagi hingga 11 pagi dan 8 malam hingga 12.30 tengah malam sahaja. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

