KOTA BHARU – Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Kelantan merampas 11,200 karton rokok putih yang disyaki diseludup bernilai RM1.5 juta dekat Tawang, Bachok, Isnin lepas.
Komander Aksem Kelantan, Mohd Asri Yahya berkata pasukannya melakukan intipan selama dua hari di kawasan Pantai Melawi, Bachok sebelum membuat rampasan.
“Pada hari tersebut, tujuh anggota yang membuat pemantauan terserempak dengan sebuah lori tiga tan yang ditinggalkan di tepi jalan pada 2.30 pagi.”
“Pemeriksaan ke atas lori itu mendapati bahagian belakang yang tertutup dengan kanvas berisi kotak besar, sebelum kita menjumpai rokok berkenaan yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di Padang Bongor di sini, hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati penyeludup sengaja meninggalkan lori berkenaan di kawasan sunyi sebelum pemandu lain yang mempunyai kunci pendua membawa lori itu ke destinasi lain.
Mohd Asri berkata kesemua rokok dan lori yang digunakan akan diserahkan kepada JKDM Kelantan untuk siasatan lanjut.
“Ini merupakan rampasan terbesar membabitkan rokok jenama Zone King walaupun ia bukannya kegemaran penduduk tempatan di Kelantan,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, Aksem akan menjalankan operasi bersepadu secara besar-besaran bersama beberapa agensi lain di sempadan sempena musim perayaan tidak lama lagi. – BERNAMA