TEMERLOH – Dua gajah liar yang dilaporkan berkeliaran di Telemong, Bentong, berjaya ditangkap pasukan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah, Lanchang.
Ketua Unit PKGK Nasharuddin Othman berkata kedua-dua gajah betina berkenaan ditangkap di kawasan hutan berhampiran, masing-masing pada Selasa lepas dan petang semalam ketika haiwan liar itu dipercayai merayau mencari makanan.
“Operasi dilakukan sejak Isnin lepas selepas menerima aduan penduduk kampung berhampiran mengatakan terdapat sekumpulan gajah liar berkeliaran di kawasan rumah mereka.
“Hasil operasi itu PKGK berjaya menangkap dua gajah betina ini dengan seekor daripadanya telah dihantar ke Taman Negara Tasik Kenyir, Terengganu dan seekor lagi akan menyusul selepas ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurutnya operasi mengesan gajah liar itu akan diteruskan memandangkan maklumat yang diterima mengatakan masih terdapat antara lapan dan 12 haiwan berkenaan berada di kawasan itu serta sekitarnya.
“Oleh kerana kawasan habitatnya telah ditebang dan dimajukan dengan projek pembangunan, haiwan tersebut terpaksa berpindah mencari kawasan baharu dan akhirnya menceroboh kawasan pertanian penduduk,” katanya. – BERNAMA

