JOHOR BAHRU – Seorang jurujual mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal dalam kejadian 18 Febuari lalu.
Tertuduh, Sam Ke Ting, 21, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Salina Omar.
Berita Harian melaporkan, pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Johor, Roslan Mat Nor manakala tertuduh diwakili peguam bela, Faizal Bustaman dan Mokhtar Menon.
Tertuduh dibenar diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu tertuduh digantung hingga perbicaraan kes selesai selain tertuduh diperintah menyerah pasport kepada mahkamah.
Salina juga menetapkan 13 April depan sebagai tarikh pengurusan kes terbabit.
Tertuduh didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB9984 secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kematian pada 3.20 pagi 18 Februari 2017 di Jalan Lingkaran Dalam, Johor.
Dia didakwa menyebabkan kematian Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM20,000 selain lesen memandu digantung sekiranya disabit kesalahan. – MYNEWSHUB.CC