KUALA LUMPUR – Larian Baton Bangkit Bersama yang diadakan sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 atau lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) akan diteruskan di Thailand, Sabtu ini.
Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) dalam satu kenyataan memaklumkan larian di negara jiran itu bakal mencatat rekod larian terpanjang dalam siri larian tersebut dengan jarak 24 kilometer mengelilingi bandar Bangkok.
Larian tersebut akan bermula dan berakhir di Stadium Tertutup Hua Mark, Bangkok dan akan melalui 12 pos utama yang berlatarbelakangkan pelbagai bangunan ikonik bandar raya itu.
Kenyataan itu menyatakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Thailand dan disertai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abd Kadir Nik Mohammad dan Ketua Pegawai Operasi Sekretariat MASOC KL 2017, Shaiful Zahrin Subhan.
Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Kobkarn Wattanavrangkul dan Gabenor Lembaga Sukan Thailand, Sakon Wannapong dijangka hadir pada majlis berkenaan.
Beberapa atlet Thailand seperti pemenang pingat emas Kejohanan Menembak Dunia, Sutiya Jiewchaloemmit, pemenang pingat emas acara angkat berat Sukan Olimpik Rio 2016, Sukanya Srisurat dan Sopita Tanasarn serta pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016, Pongsakorn Paeyo dalam acara lumba kerusi roda turut akan menyertai larian itu.
Larian Baton Bangkit Bersama di Bangkok merupakan kesinambungan daripada larian baton yang diadakan di beberapa negara ASEAN sebelum ini iaitu Myanmar, Laos, Filipina dan Brunei yang bermatlamat mempromosikan temasya sukan Kuala Lumpur 2017 kepada rakyat di Asia Tenggara.
Vietnam akan menjadi destinasi keenam dalam siri Larian Baton Bangkit Bersama pada 9 April ini.
Sukan SEA ke-29 dijadual berlangsung pada 19-31 Ogos ini manakala Sukan Para ASEAN kesembilan pula dari 17-23 September ini. – BERNAMA