TELUK INTAN – Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 20-an kerana terlibat bersama adiknya, yang masih bebas, dalam kes mencuri tabung Masjid Jamek Hutan Melintang, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Wan Hassan Wan Ahmad berkata lelaki berkenaan ditangkap semalam di tepi jalan besar Bagan Datuk, manakala adiknya sedang giat diburu.
“Hasil siasatan, pelaku jenayah ini adalah penganggur dan terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah. Malah suspek juga mengaku melakukan kes curi tabung Masjid Hutan Melintang,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Wan Hassan berkata kejadian mencuri tabung masjid itu disedari bilal masjid kira-kira pukul 5.40 pagi sebelum solat Subuh dan kerugian dipercayai berjumlah kira-kira RM6,000.
“Pengadu melihat kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati dua lelaki yang memakai topi keledar menggunakan pemotong besi untuk memotong tiga mangga dan mengambil wang tabung masjid,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua anggota jawatankuasa surau dan masjid agar memasukkan semua wang kutipan derma ke dalam akaun bank bagi mengelak insiden tidak diingini. – BERNAMA

