PELIK dan ajaib. Kedudukan skuad bola sepak Malaysia mampu naik waima tanpa perlu ada sebarang perlawanan pun, menurut laporan portal sukan tempatan Fourth Official.com hari ini.
Menerusi kedudukan terbaharu yang diumumkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Februari lalu, kedudukan pasukan kebangsaan naik satu anak tangga kepada 161 berbanding 162 pada bulan Januari lalu.
Ada pihak yang menyatakan bahawa dengan naik kedudukan ini, ia akan menjadi ‘tonik’ tambahan buat skuad Harimau menjelang perlawanan berdepan Filipina dan Korea Utara dalam jadual perlawanan FIFA hujung Mac.
Kedua-dua lawan yang akan ditemui anak buah Datuk Ong Kim Swee masing-masing berada di kedudukan lebih tinggi berbanding Malaysia sendiri. Filipina berada di tempat 124 dunia sementara Korea Utara pula ke-121.
Prestasi buruk Malaysia dalam kejohanan Piala AFF Suzuki dan perlawanan antarabangsa pada tahun lalu sedikit sebanyak menyebabkan pasukan kebangsaan berada di kedudukan yang teruk berbanding dua pasukan tersebut.
Meskipun berada pada kedudukan ke-161 dunia, prestasi Malaysia sebenarnya agak teruk apabila berada di belakang beberapa pasukan dari negara yang bermasalah seperti Palestin (134), Afghanistan (156) dan Taiwan (159).
Uniknya, berada di belakang Malaysia ialah pasukan lemah seperti Moldova (162), Kosovo (164), Kuwait (165), Sudan Selatan (169), Nepal (170), Papua New Guinea (171), Bangladesh (193), Pakistan (198) dan Mongolia (196).
Bagi Asia Tenggara, Filipina terus unggul di kedudukan ke-124 diikuti Thailand (127), Vietnam (136), Malaysia (161), Singapura (163), Indonesia (167), Myanmar (172), Laos (173), Kemboja (174), Brunei (184) dan Timor Leste (194).
Paling mengejutkan Iran gah bergelar pasukan No.1 Asia apabila berada di kedudukan ke-33 dunia diikuti Korea Selatan (40), Jepun (51), Arab Saudi (57), Australia (55), Qatar (84), China (86), Jordan (115) dan Iraq (122).
Sementara itu dari segi kedudukan keseluruhan, Argentina berada di puncak sebagai pasukan No.1 dunia diikuti Brazil, Jerman, Chile, Belgium, Perancis, Colombia, Portugal, Uruguay dan bekas juara Piala Dunia 2010, Sepanyol.
Juara Piala Dunia 1966, England berada di kedudukan ke-14 dunia diikuti juara Piala Dunia 2006, Itali, berada di kedudukan ke-15 dunia manakala Mesir muncul pasukan terbaik benua Afrika dengan menduduki tempat ke-20.
Dengan hanya naik satu anak tangga tanpa sebarang perlawanan, bukanlah satu perkara ajaib boleh dibanggakan kerana Malaysia perlu melakukan segala yang mungkin untuk naik lebih tinggi dalam kedudukan semasa FIFA.
Janganlah kita berbangga dengan naik anak tangga kalau kita sekadar naik daripada 162 kepada 161 sahaja. Skuad Harimau Malaysia perlu melihat ke hadapan dan cuba meletakkan diri dalam kelompok 100 terbaik dunia.
Mungkin ada yang menyatakan ranking tidak penting, tetapi ramai tidak sedar bahawa ia sebenarnya menunjukkan keupayaan pasukan kebangsaan dan akan memainkan peranan dalam proses undian pertandingan antarabangsa.
Siapa sahaja yang bakal menjadi presiden FAM baharu hujung bulan ini, penyandangnya perlu merangka pelan lengkap untuk meletakkan balik maruah Malaysia pada kedudukan lebih tinggi dalam kalendar permainan FIFA.
Untuk rekod, jika dahulu Malaysia pernah berada di kedudukan 79 dunia pada 1993 lalu, maka tidak mustahil untuk negara kita mengulanginya kembali dengan perancangan rapi dan usaha gigih. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA