IPOH – Kerajaan Perak meminta Kementerian Kerja Raya memberikan peruntukan yang sesuai dan sewajarnya bagi melaksanakan kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negeri itu pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata ini kerana pada tahun lalu peruntukan yang diberikan hanya RM16 juta daripada jumlah dipohon RM132 juta.
Katanya jumlah peruntukan itu perlu diagihkan kepada 10 Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah di Perak bagi melakukan kerja-kerja berkaitan termasuk menurap dan membaiki jalan persekutuan yang rosak.
Menurut beliau, hanya pada 2014 kerajaan negeri menerima kira-kira 50 peratus daripada jumlah peruntukan yang dipohon.
“Tahun ini kita mohon sejumlah RM117 juta bagi menyelesaikan masalah jalan persekutuan yang rosak dan perlu dibaiki segera,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Zainol Fadzi berkata Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir telah membangkitkan isu berkenaan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri supaya ia diberi perhatian serius.
Katanya jalan persekutuan di Perak adalah sepanjang 1,619 kilometer dan kebanyakannya sudah lama tidak diturap semula.
Antara laluan yang mengalami kerosakan dan memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan segera ialah Jalan Changkat Jering-Pantai Remis, Jalan Seri Iskandar-Titi Gantung menghala ke Ipoh, Jalan Tapah-Bidor dan Jalan Lekir-Sitiawan, katanya. – BERNAMA