IPOH – Seorang penjual ayam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita pada 13 Mac lepas.
Mohd Nur Hussein Mohd Salleh, 34, mengangguk tanda faham apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.
Tertuduh didakwa membunuh Hamidah Abdul Rahman, 53, di sebuah rumah di Taman Dato Lew Yan Sip di sini, antara 12.01 tengah malam hingga 5 pagi pada hari kejadian.
Mohd Nur Hussein didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Ashvinder Kaur sementara Timbalan Pendakwa Raya Sally Chai Mei Ling hadir bagi pihak pendakwaan.
Terdahulu, Ashvinder memohon agar Mohd Nur Hussein dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental.
Nur Melati Diana membenarkan permohonan itu bagi pemerhatian dan rawatan lanjut selama sebulan dan dilanjutkan sekiranya perlu.
Mahkamah menetapkan 20 April depan bagi sebutan semula kes selain menunggu laporan perubatan.
Media sebelum ini melaporkan mangsa, seorang pembantu peniaga pasar yang baru lima hari mengikat tali pertunangan, ditemukan terlentang berlumuran darah di atas katil di dalam bilik utama di tingkat atas rumahnya. – BERNAMA