PEKAN – GiatMara sentiasa memastikan kursus-kursus yang ditawarkan di pusat latihannya mampu melahirkan pelatih yang memenuhi keperluan kebolehpasaran kerja.
Anggota Lembaga Pengarah GiatMara Malaysia Nor Hazreena Mohamad Hashim berkata dengan 39 kursus dan latihan bertaraf dunia, pihaknya memastikan bekas pelatihnya mampu menjana pendapatan melalui kemahiran yang dipelajari.
“Sebahagian besar pelatih yang dihasilkan oleh GiatMara berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang industri mahupun membuka sendiri perniagaan.
“Sehubungan itu lepasan sekolah yang masih tercari-cari haluan disaran menimba ilmu di pusat latihan GiatMara di seluruh negara demi jaminan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Graduasi GiatMara Negeri Pahang di Maktab Rendah Sains Mara Tun Abdul Razak dekat sini hari ini yang disempurnakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Peramu Jaya, Datuk Seri Sheikh Mohd Puzi Sheikh Ali.
Pada majlis itu 450 pelatih menerima sijil tamat latihan masing-masing.
Pada masa yang sama, Hazreena berkata bagi memastikan pelatih yang membuka perniagaan sendiri dapat menghasilkan produk berdaya saing, GiatMara memperkenalkan program BeSkill pada tahun lalu.
“Melalui program tersebut, pelatih GiatMara diberikan peluang dan pendedahan untuk cara untuk mengetengahkan produk reka cipta yang boleh dipasarkan,” katanya.
Katanya usaha itu bukan sahaja dapat menonjolkan peranan GiatMara tetapi juga mampu menjana pendapatan lumayan bagi pelatih terlibat. – BERNAMA