KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mahu Malaysia mendapatkan bantuan negara asing Norway bagi menjadi pengantara diplomatik dalam krisis antara Malaysia dengan Korea Utara.
Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub mendakwa, Malaysia perlu mendapatkan bantuan Norway kerana tiada diplomat Malaysia mampu menamatkan krisis yang melanda kedua-dua negara.
“Mengapa Malaysia tidak cuba untuk meminta pandangan serta pertolongan Norway bagi tujuan menjadi negara pengantara yang berkemungkinan besar berupaya menamatkan isu Kuala Lumpur – Pyongyang yang telah berlarutan hampir sebulan ini.
“Mungkin di situ adalah keperluan dan ia perlu dipertimbangkan sebaik dan secermat mungkin. Norway punya prestij dan pengalaman dan diperakui memiliki segala kemampuan diplomatik,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Salahuddin dalam pada itu mendakwa Malaysia sukar bertindak sendirian dalam berhadapan konflik dengan Korea Utara maka perlu mendapatkan bantuan Norway untuk mengelak terjebak dalam persaingan kuasa besar dunia. – MYNEWSHUB.CC