KUALA TERENGGANU – Statistik status kesihatan mulut dalam kalangan kanak-kanak di Terengganu pada tahun lalu menunjukkan hanya 14.9 peratus kanak-kanak berusia enam tahun bebas daripada masalah kerosakan gigi (karies gigi).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata pencapaian itu masih jauh ketinggalan daripada sasaran di peringkat kebangsaan iaitu 50 peratus kanak-kanak bebas karies gigi menjelang tahun 2020.
“Pelbagai usaha telah dibuat oleh Bahagian Kesihatan Pergigian di Terengganu untuk memberikan rawatan dan langkah mempromosikan penjagaan kesihatan bahagian mulut kepada masyarakat di negeri ini.
“Walaupun rawatan yang komprehensif dan lengkap mengikut keperluan telah diberi kepada murid sekolah rendah, statistik menunjukkan hanya enam daripada 10 murid berjaya mengekalkan status kesihatan mulut yang baik selepas menerima rawatan pergigian pada tahun lalu,” katanya ketika berucap merasmikan mini karnival Kembara Sihat 1 Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa agar lebih prihatin dengan kesihatan mulut dan gigi anak mereka apabila berada di rumah dengan mendidik mengenai amalan rutin seperti menggosok gigi dan mengurangkan pengambilan minuman serta makanan yang manis
Dr Mohammad berkata hampir 98.5 peratus murid sekolah rendah di Terengganu menerima rawatan pergigian sepanjang tahun lalu.
“Sebanyak 19,590 sesi ceramah diadakan melibatkan lebih 220,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dan 15,265 sesi latihan memberus gigi diadakan melibatkan kanak-kanak prasekolah, murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan kanak-kanak istimewa.
“Pendidikan kesihatan yang diberi ini sewajarnya diteruskan ibu bapa apabila berada di rumah kerana kerosakan gigi yang berlaku terlalu awal akan menyebabkan kanak-kanak ini menjadi rendah diri, malu tersenyum dan lebih membimbangkan jika kerosakan kekal akan menyebabkan masalah lain seperti kesukaran mengunyah makanan,” katanya. – BERNAMA