SINGAPURA – Sebanyak 2,041 karton dan 60 peket rokok tidak dijelaskan cukai dirampas daripada sebuah bas berpendaftaran Malaysia di pusat pemeriksaan Tuas pada Ahad, kata Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA).
Duti dan Cukai Barang dan Perkhidmatan bagi rokok seludup itu masing-masing dianggarkan sebanyak S$158,840 (S$1=RM3.14) dan S$11,770, kata ICA dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut pihak berkuasa itu, pada kira-kira 10 malam 19 Mac, para pegawainya mengarahkan bas berkenaan, yang tiba di pusat pemeriksaan Tuas dengan dipandu lelaki Malaysia berusia 24 tahun, menjalani pemeriksaan lanjut.
Ketika melakukan pemeriksaan, para pegawai menemukan rokok berkenaan disorok di dalam saluran penyaman udara, tempat letak bagasi dan ruang bumbung bas itu yang diubah suai.
Pemandu, barang kes dan bas itu kemudian diserahkan kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut, kata ICA.
Pihak berkuasa itu berkata, menurut undang-undang, kenderaan yang terlibat dengan kesalahan seperti itu boleh dirampas.
“Sempadan merupakan barisan pertama pertahanan kami bagi melindungi keselamatan Singapura. Pemeriksaan keselamatan adalah langkah yang sangat penting bagi keselamatan negara kami.
“Kami akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan terhadap penumpang dan kenderaan di pusat pemeriksaan bagi menghalang cubaan menyeludup masuk orang tidak diingini, dadah, senjata, bahan letupan dan barang terlarang lain,” kata ICA.
Menurutnya, kaedah digunakan penyeludup untuk menyorokkan barangan tanpa dijelaskan cukai seperti itu, mungkin digunakan pengganas untuk menyeludup senjata dan bahan letupan untuk melakukan serangan di Singapura. – BERNAMA

