KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) memperuntukkan RM35 juta dana untuk pembangunan usahawan wanita dalam memperhebatkan penyertaan golongan hawa dalam bidang perniagaan.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dana Program Pembangunan Perniagaan Khas Untuk Usahawan Wanita (DanaNITA) itu akan memberi manfaat kepada lebih 6,000 usahawan wanita.
Beliau berkata DanaNITA yang dilancarkan hari ini merangkumi dua skop pembangunan usahawan wanita iaitu latihan serta bimbingan dan keduanya pembiayaan khas.
“Bagi latihan dan bimbingan, suka saya umumkan bahawa kita akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi tujuan ini. Kita sasarkan 5,000 usahawan wanita akan menerima manfaat daripada peruntukan itu.
“Kedua, bagi pembiayaan khas pula, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menyalurkan peruntukan khas RM30 juta bagi memperkasa lebih 1,250 usahawan wanita di mana skim ini memberi fokus kepada usahawan berumur antara 18-60 tahun dengan melibatkan had pembiayaan sebanyak RM50,000 berkonsepkan pembiayaan patuh syariah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan DanaNITA di sini.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Ismail Sabri berkata antara latihan yang akan diberikan MARA menerusi program berkenaan adalah pembentukan usahawan, motivasi serta pelan perniagaan bagi mereka yang baharu bertatih untuk menjadi usahawan.
Selain itu, MARA juga akan membantu usahawan itu untuk terus berkembang melalui latihan perniagaan, pensijilan dan piawaian serta memadankan perniagaan dengan penggiat utama dari sudut pemasaran produk.
“Dana ini terbuka kepada mana-mana usahawan wanita sama ada mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan atau sudah lama menceburi bidang berkenaan.
“Sekirannya sambutan bagus dan pembayaran balik pinjaman juga bagus, mungkin akan ada peruntukan tambahan untuk masa depan sekiranya peruntukan ketika ini iaitu RM30 juta habis disalurkan kepada mereka yang layak,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pembiayaan khas, Ismail Sabri berkata semua jenis perniagaan termasuklah bisnes secara dalam talian boleh memohon dana berkenaan asalkan perniagaan yang dijalankan mematuhi syariah.
Bagi yang berminat, boleh mendapatkan borang permohonan DanaNITA di semua pejabat MARA bermula hari ini. – BERNAMA

