KUALA LUMPUR – Seramai 705,562 pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang tidak menerima bantuan itu pada bulan lalu, akan mendapatnya secara berperingkat minggu depan.
Bagaimanapun, mereka diberi tempoh tiga bulan untuk mengemukakan buku atau penyata kewangan sebagai bukti pendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah untuk memastikan mereka menerima bantuan peringkat kedua BR1M pada Jun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pihaknya memberi kelonggaran kepada pemohon berkenaan berikutan mereka mempunyai rekod menerima bantuan sama sepanjang tahun lalu.
Katanya, mereka yang masih tidak mengetahui kriteria dan kelayakan untuk menerima BR1M boleh mendapatkan maklumat lanjut dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kira-kita 600,000 pemohon pula tidak menerima bantuan kerajaan itu kerana disahkan berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke atas.
“Malah, dakwaan segelintir pihak sebelum ini kononnya mereka tidak menerima bantuan BR1M kerana berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah tidak benar.
“Kita nak betulkan persepsi orang ramai, kita beri kepada mereka yang bergaji bulanan RM4,000 dan ke bawah, tidak kisah mereka berdaftar atau tidak (dengan SSM),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Pemohon BR1M yang gagal menerima bantuan itu boleh mengemukakan rayuan di semua cawangan LHDN mulai 3 April hingga 31 Mei tahun ini. – Berita Harian
