LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan akan melaksanakan pengambilan sukarelawan untuk Pasukan Simpanan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSSMM) selama dua hari bermula 10 Mac.
Ketua Penguat kuasa APMM Labuan Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata mereka menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 200 orang.
“Semua rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 45 tahun dan mempunyai kesihatan yang baik dipelawa menyertai PSSMM yang berperanan membantu kami dalam pelbagai operasi di laut,” katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya setiap sukarelawan yang terpilih akan diberi latihan dalam bantuan kecemasan serta diajari pelbagai teknik dalam operasi penyelamatan.
Setiap sukarelawan juga akan menerima elaun, katanya.
Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh hubungi APMM Labuan di talian 087-453777. – BERNAMA