HULU TERENGGANU – Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenal pasti dua laman sesawang yang aktif menyebarkan fahaman militan Daesh dalam kalangan golongan belia di negara ini.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Jailani Johari berkata penularan laman dalam talian iaitu ‘Majalah Dabiq’ dan ‘Rumiyah’ dibimbangi akan menyebabkan golongan belia terpengaruh untuk menyertai gerakan militan tersebut.
“Saya telah mengarahkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencari dan menyekat sebaran fahaman Daesh kerana kita tahu laman sesawang yang sebelum ini telah disekat oleh SKMM, ada lagi yang masih aktif dengan banyak.
“Kita risau kerana golongan belia adalah golongan yang aktif menggunakan Internet dalam kehidupan seharian dan mereka adalah golongan yang mudah terjerumus dalam fahaman negatif ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang di sini, hari ini.
Anggota Parlimen Hulu Terengganu itu juga menambah anak-anak yang kurang mendapat perhatian dan kurang kasih sayang khususnya daripada ibu bapa dan keluarga amat mudah terjebak dalam fahaman militan tersebut kerana masa terluang dihabiskan dengan melayari Internet.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak mereka agar tidak terlalu obses kepada Internet kerana mereka mempunyai lebih ramai rakan maya berbanding di dunia realiti.
“Mereka banyak menghabiskan masa di depan komputer, kadangkala mereka tidak sedar masa yang dihabiskan menyebabkan mereka tidak bergaul dengan masyarakat di sekeliling mereka.
“Perkembangan sesebuah teknologi itu bagus…biar kita menguasai teknologi baru ia menjadi sesuatu yang berguna…bukan teknologi yang menguasai kita,” katanya. – BERNAMA