GEORGE TOWN – Dua individu hari ini mendakwa ditipu oleh seorang lelaki yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda menerusi pelaburan dan penjualan emas sejak 2013 hingga tahun lalu.
Pengurus syarikat, Abdul Wahab S. Mohd Mydin, 48, dan bekas tentera Rahmat Kamaruddin, 50, mendakwa mereka mengalami kerugian selepas suspek gagal membuat pembayaran seperti yang dijanjikan.
“Lelaki itu membeli emas dengan cek tarikh tertunda daripada kami secara ansuran sejak Oktober 2013. Beberapa cek (bernilai) sebanyak RM710,349 telah ditunai, selebihnya RM1,570,161 ditendang dan ada yang masih belum sampai tarikh cek (boleh ditunaikan) sebanyak RM2,665,108,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata nilai pembelian yang ditawarkan adalah RM4.9 juta untuk 16.635kg emas.
Sementara itu, Rahmat mendakwa lelaki terbabit turut menawarkan pemberian keuntungan dividen sebanyak 10 peratus bagi setiap dua minggu dengan pembelian dua kilogram barang kemas.
Katanya beliau telah menyerahkan wang tunai RM11,500 kepada lelaki terbabit untuk pelaburan emas pada September 2016 sebelum menambah pelaburan lebih kurang RM300,000 secara tunai.
Beliau berkata selepas pelaburan dibuat pihaknya menerima pulangan yang dibayar dari awal bulan Oktober sehingga pertengahan bulan itu oleh lelaki terbabit.
“Bermula pada 20 Okt 2016 bayaran mula tidak mencukupi seperti yang dijanjikan. Selepas dua minggu saya menunggu baki pulangan pelaburan lebih kurang RM200,000 yang sehingga kini masih belum dibayar. Saya telah menghubungi lelaki itu tetapi tidak dijawab dan telefon ditutup,” katanya.
Abdul Wahab dan Rahmat masing-masing membuat laporan polis pada 2014 dan tahun lepas tetapi mendakwa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap lelaki terbabit. – BERNAMA

