KUALA TERENGGANU – Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus cemerlang dalam perlawanan di laman sendiri apabila berjaya menewaskan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 6-1 dalam Liga Premier Hoki Malaysia (TNB NHL) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu petang ini.
Dalam perlawanan keenam liga itu, THT meneruskan aksi terbaik bagi mempertahankan kemenangan mereka, sekali gus mengumpul 19 mata daripada tujuh perlawanan.
Pasukan bimbingan Sarjit Sigh itu memperoleh gol pertama pada minit ketiga hasil jaringan pukulan penalti strok menerusi pemain import dari Korea, Jang Jonghyun.
Lebih membanggakan apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil berjaya mencipta hatrik tiga gol pada minit ke-13, 29 dan 36 menerusi jaringan padang.
THT menggandakan kedudukan menerusi gol padang oleh Jang pada minit ke-48 dan Mohamad Amirul Mirza Rozi diminit terakhir (ke-60).
TNB di bawah bimbingan jurulatih Muhamad Amin Rahim memperolehi gol menerusi pukulan Mohamad Ramadan Rosli pada minit ke-23.
Sementara itu Sarjit yang ditemui pemberita berkata beliau berpuas hati kerana pemain Terengganu menunjukkan permainan yang amat baik dan gol permulaan yang diperoleh menerusi Jang telah membuka peluang dan memudahkan pasukan tuan rumah membenam TNB. – BERNAMA
