ALAHAI macam-macam kerenah budak sekolah sekarang. Kali ini kisah lucu seorang runner yang menawarkan perkhidmatan untuk menghantar barang.
Menerusi perkongsian Facebook, Muhammad Fard Osman bercerita pengalamannya berurusan dengan seorang pelajar perempuan di sebuah kawasan di Kampung Kubu, Melaka.
Dia turut memuat naik perbualan dengan seorang pelanggannya yang mahu menghantar hadiah ulang tahun kepada teman lelakinya selepas waktu tamat persekolahan.
Sepanjang perbualan tersebut, pelajar perempuan itu sering menggunakan perkataan bae sehingga timbul persoalan mengenai erti perkataan tersebut yang membawa kepada maksud kekasih.
Bukan isu penghantaran yang menjadi masalah tetapi pelanggannya yang juga pelajar sekolah itu turut mempertikaikan harga perkhidmatan yang diberikan.

Muhammad Fard mengenakan bayaran RM20 untuk penghantaran barang tetapi pelanggannya itu hanya mahu membayar RM5 dengan alasan upah berkenaan dapat menampung minyak motosikal.
Bermula daripada isu upah, berlaku ‘pertengkaran antara Muhammad Fard dengan pelanggannya sehingga dia didakwa enggan membantu bangsa sendiri.
Muhammad Fard turut membangkitkan caj upah yang dikenakan lebih murah berbanding harga biasa kerana pelangannya itu adalah pelajar sekolah.
Lebih membangkitkan kemarahan apabila pelajar tersebut sanggup membelanjakan wang RM450 untuk membeli hadiah jam tangan namun enggan membayar upah yang hanya RM20.
Bagaimanapun, Muhammad Fard masih berbalas mesej dengan pelanggannya dengan menyelitkan emoji dan kata-kata dengan harapan pelajar perempuan itu dapat pengajaran sewajarnya.
Perkongsian Muhammad Fard mendapat respon netizen yang turut mengecam pelajar perempuan tersebut sebagai berlagak dan tidak beradab. – MYNEWSHUB.CC
