KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengingatkan sekutunya termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menjadi Perdana Menteri jika pembangkang berjaya merampas pemerintahan negara.
Bendahari PKR, Dr. Tan Yee Kew berkata, beliau memberi peringatan itu kerana terdapat perbezaan pandangan dalam pakatan pembangkang mengenai siapa akan menjadi mengetuai pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menjadi calon Perdana Menteri.
“Siapa yang akan mengetuai PRU14? Memang terdapat perbezaan pandangan dalam pakatan pembangkang mengenai siapa yang akan mengetuai pada PRU14 dan calon Perdana Menteri.
“Namun parti komponen Pakatan Harapan telah sebulat suara membuat keputusan memberi sokongan kuat kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri pada Konvensyen Pakatan Harapan 2016,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau dipercayai memberi peringatan itu berikutan pengaruh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat mula meresapi Pakatan Harapan menyebabkan pengaruh Anwar dalam kalangan pemimpin dan penyokong pembangkang mula merundum.
Pakatan Harapan dibarisi DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN), manakala PPBM merupakan parti baharu yang ditubuhkan Mahathir kerana berdendam dengan UMNO dan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pakatan Harapan menandatangani perjanjian kerjasama dengan PPBM ketika Anwar dalam penjara sedangkan Mahathir merupakan individu yang bertanggungjawab memecat dan memenjarakan Anwar pada tahun 1998.
Perjanjian yang cukup mengelirukan itu terpaksa dipersetujui oleh PKR akibat tekanan daripada DAP dan PAN kerana DAP dan PAN yakin pengaruh Mahathir dapat membantu mereka mencapai hasrat menumbangkan parti terbesar kaum Melayu UMNO.
Yee Kew seterusnya meningatkan bahawa penjara bukan penghalang bagi Anwar untuk menjadi pemimpin ikonik Pakatan Harapan dengan melantik seorang pemangku Perdana Menteri terlebih dahulu.
Justeru, katanya, isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah wajar dan praktikal untuk menjadi seorang Perdana Menteri sementara jika pembangkang berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Memang terdapat ramai pemimpin utama pembangkang lain yang layak sebagai calon Perdana Menter. Namun, perlu ingat bahawa sebahagian besar penyokong pembangkang bersatu di belakang gambaran ikonik Anwar.
“Bolehkah pakatan pembangkang mendapatkan pengundi jika pembangkang meletakkan satu nama calon Perdana Menteri selain daripada Anwar atau idea di mana Wan Azizah tidak menjadi PM sementara,” katanya dalam nada mencabar. – MYNEWSHUB.CC