IPOH – Kerajaan Perak akan sentiasa memberi penekanan terhadap isu kebersihan di seluruh negeri termasuk tandas, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata di negara maju, kebersihan merupakan perkara penting sehingga menjadi pendidikan utama kepada pelajar yang sebelum memulakan pembelajaran, akan diminta oleh guru untuk membersihkan tandas.
“Di China, mereka menganggap ia perkara besar sehingga menjadi satu revolusi kerana kebersihan adalah asas kepada pemikiran yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Perak Bersama Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang disiarkan secara langsung menerusi PerakFM hari ini.
Turut terlibat dalam program berkenaan ialah Ketua Biro Kosmo, Muhamad Tarmize Mohd Nor, Ketua Biro New Straits Times Nuradzimmah Daim dan wartawan The Sun Perak P. Chandra Sagaran.
Zambry berkata beliau tidak peduli dengan kritikan mereka yang melabelkan usaha membersihkan Perak sebagai lakonan atau sandiwara kerana yang penting rakyat memahami apa yang dilakukannya.
“Jika sebelum ini saya sudah mengutip sampah saya juga tidak kisah untuk masuk tandas malah saya juga pernah mengadakan beberapa lawatan mengejut cuma tidak dihebahkan,” katanya. – BERNAMA

