PEKAN – Lebih 500 penduduk di sekitar Kampung Baru Salong, Chini dekat sini mendapat manfaat kemudahan akses Internet melalui alat pemancar telekomunikasi ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) yang dilancarkan hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun berkata alat pemancar telekomunikasi yang dibangunkan Measat itu boleh mencapai jarak penggunaan hingga 70 meter dengan melibatkan 100 pengguna dalam satu masa.
“Pelancaran ini cukup baik bagi memberi akses kepada masyarakat setempat untuk menggunakan Wifi secara percuma, selain juga dapat dimanfaatkan oleh pelajar di tiga buah sekolah berhampiran,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan alat pemancar telekomunikasi itu sempena Program Menghubung Menyatu (CTU) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Turut hadir Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.
Pada pelancaran itu, Abu Bakar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini turut menyampaikan televisyen beserta set Njoi sumbangan KKMM dan Astro kepada 19 penduduk di sekitar kampung berkenaan.
Program CTU adalah inisiatif baharu kerajaan yang diterajui KKMM dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
Program yang berteraskan dua bidang utama iaitu pendigitalan dan kemasyarakatan itu dilaksanakan bagi mengurangkan jurang jaringan telekomunikasi antara masyarakat bandar dan kawasan pedalaman. – BERNAMA

