LABUAN – seorang penuntut perubatan dan seorang ahli perniagaan maut dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Labuan Supt Adzhar Othman berkata kemalangan pertama melibatkan pelajar I.M Sechenov First Moscow State Medical University yang mati selepas kereta jenis Nissan Skyline yang dipandunya terbabas dan melanggar pokok berhampiran Jalan Bukit Timbalai pada 12.40 tengah malam tadi.
Nahas menyebabkan Joshua Shak Gin Vui, 25, tersepit di dalam kenderaan sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba, katanya kepada Bernama di sini.
“Dia mengalami kecederaan parah pada kepala dan mati di hospital,” kata Adzhar, menambah pelajar itu pulang dari Rusia bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga.
Nahas kedua pula melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang juga terbabas dan melanggar pokok di Jalan Tun Mustapha pada 5.40 pagi tadi.
Kejadian menyebabkan Lau Mee Ling, seorang wanita berusia 41 tahun, maut di tempat kejadian, kata Adzhar.
“Siasatan awal bagi kedua-dua kes mendapati kedua-dua mangsa memandu laju sebelum hilang kawalan kenderaan masing-masing,” katanya. – BERNAMA

