JOHOR BAHRU – Semua pelajar yang maut dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam awal pagi tadi, dilindungi insurans walaupun kejadian berlaku di luar waktu persekolahan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Shaharudin Sharif, berkata waris mangsa yang maut itu layak menuntut wang insurans berjumlah RM5,000 seorang menerusi Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia.
Katanya, pihak jabatan itu juga akan membantu menguruskan urusan pengebumian mangsa.
“Pihak sekolah akan membantu waris keluarga menyediakan dokumen diperlukan untuk menuntut insurans itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun kejadian berlaku di luar waktu sekolah, setiap pelajar boleh menuntut insurans melalui perlindungan 24 jam sepanjang tahun.
Katanya, bagi mereka yang cedera dalam kemalangan dan menerima rawatan di hospital, juga boleh membuat tuntutan mengikut kecederaan.
Selain itu, katanya, pihak jabatan akan mengumpul maklumat daripada pelajar sekolah berhubung kumpulan yang mengadakan aktiviti berbasikal dan yang mengabaikan ciri-ciri keselamatan diberikan kaunseling. – Berita Harian

