KUALA LUMPUR – Wanita Parti Amanah Negara (PAN) memetik firman Allah bagi menjustifikasikan tindakan kerajaan Selangor mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang digunakan oleh rakyat negeri itu sewaktu mereka membeli barangan keperluan.
Ketuanya, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, ALLAH berfirman: “Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya ALLAH) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan semoga mereka kembali bertaubat.”
Justeru, katanya, Wanita PAN meminta rakyat Selangor bersabar dan istiqamah dengan keputusan kerajaan Selangor itu walaupun ia menyusahkan mereka di peringkat awal demi menjaga alam sekitar.
“Jika kita semua bekerjasama kesan “ketiadaan plastik” dalam kehidupan kita adalah berbaloi apabila alam sekitar kita bersih dari plastik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rakyat Selangor sejak kebelakangan ini mula mempersoalkan mengapa kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak menghentikan terus bekalan beg plastik di semua premis beli-belah jika benar-benar mahu menjaga alam sekitar.
Mereka turut mempersoalkan pihak mana yang mendapat hasil daripada denda sebanyak 20 sen dikenakan ke atas rakyat Selangor bagi setiap beg plastik tersebut.
Ketua Biro Guaman Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid pada 24 Januari lalu pula mendakwa, caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikenakan ke atas rakyat Selangor oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya satu denda.
Beliau membayangkan denda itu dikenakan ke atas rakyat Selangor kerana mereka mencemarkan alam sekitar. – MYNEWSHUB.CC

