MERSING – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Mersing selepas menangkap ikan di Pulau Aur, di sini, Jumaat lepas, ditemukan lemas, semalam.
Ketua Polis Daerah Mersing DSP Cyril Edward Nuing berkata mayat Teoh Cheng Heng, 61, ditemukan terdampar di Pantai Sri Leman, Tanjung Leman, di sini, kira-kira 7km dari tempat dia dilaporkan jatuh.
“Mayat Teoh ditemukan kira-kira 2.45 petang semalam oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut sebelum memaklumkan kepada pihak polis,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke unit forensik Hospital Mersing dan disahkan keluarganya selepas proses pengecaman.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, Teoh yang berasal dari Taman Bintang 1, Pantai Remis, Perak dilaporkan terjatuh dari bot dinaiki bersama dua rakannya akibat ombak kuat dan laut bergelora.
Mangsa dan dua rakannya, sebelum itu keluar menangkap ikan menggunakan bot kelas A ke Pulau Aur, pada 11.30 malam, Khamis lepas (9 Feb).
Gerakan mencari dan menyelamat Teoh kemudian dilancarkan oleh Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat. – BERNAMA

