PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima banyak maklumat bahawa terdapat individu-individu menyamar sebagai pegawai SPRM yang kononnya boleh menyelesaikan kes-kes SPRM.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, SPRM telah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dalam perbuatan tidak beretika itu yang boleh menjejaskan imej SPRM.
“Individu-individu ini dipercayai telah menggunakan nama pegawai kanan SPRM dan meminta sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan kes-kes tersebut.
“Individu-individu terbabit mendakwa mereka boleh menyelesaikan kes-kes SPRM yang masih dalam siasatan, perbicaraan mahkamah serta membersihkan nama mereka yang terdapat dalam senarai siasatan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Azam berkata, SPRM berharap agar orang ramai tidak terperdaya dengan dakwaan seperti itu dan meminta mereka menghubungi SPRM terlebih dahulu untuk mengesahkan perkara tersebut.
Menurut beliau, SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyalahgunakan nama pegawai-pegawai SPRM bagi kepentingan diri sendiri dan siasatan akan dijalankan bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan ke atas mereka.
“Mana-mana individu yang terlibat gagal melaporkan perkara tersebut kepada SPRM, tindakan akan diambil ke atas mereka atas kesalahan bersubahat,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

