KETIKA Tej Biswokarma berusia lima tahun, seperti biasa dia akan mengisi minyak tanah untuk menyalakan lampu di rumah ibu bapanya namun pada satu hari, lampu berkenaan telah meletup menyebabkan badannya terbakar.
Disebabkan kebakaran itu, mulut Tej telah cair hingga ke dada. Disebabkan Tej menetap di kawasan pergunungan di Kathmandu, yang mengambil masa selama dua hari perjalanan dengan berjalan kaki ke hospital, maka Tej tidak dapat menemui doktor sejurus selepas kemalangan.
Malah ibu bapanya menggunakan rawatan tradisional dan herba untuk merawat luka di badannya.

“Kesakitannya tidak tertanggung. Saya dapat rasakan seolah-olah saya akan mati perlahan-lahan,” katanya.
Luka itu bagaimanapun sembuh dengan sendirinya tetapi parut yang ditinggalkan begitu menakutkan dan dia tidak dapat bercakap atau makan makanan pepejal, hanya bergantung kepada cecair selama lima tahun.
Pada 2006, hospital Sushma Koirala telah mengadakan pembedahan percuma di kawasan pedalaman dan di situ ibu bapanya membawa Tej untuk mendapatkan bantuan.
Doktor yang terlibat, Dr Jaswan Shakya terkejut melihat keadaan Tej dan menyatakan beliau tidak pernah menyaksikan keadaan yang begitu menakutkan itu.

“Dia tidak boleh menggerakkan leher dan gigi. Seluruh bahagian bawah muka, leher, dada dan abdomen dipenuhi dengan parut,” kata Dr. Jaswan.
Tej akhirnya dibedah pada Julai 2006 dan selama beberapa tahun, dia terpaksa menjalani lapan lagi pembedahan dengan percuma.
Kini, Tej yang sudah berusia 21 tahun telah berkahwin dengan jirannya, Sharmila Kumari, 18, dan menjadi seorang ayah kepada bayi berusia 10 bulan.
Mereka berkahwin walaupun keluarga Sharmila tidak merestui perkahwinan terbabit dengan menyifatkan Tej sebagai terlalu hodoh.
“Saya rasa seperti dilahirkan semula. Sebelum ini setiap malam saya menghabiskan masa memikirkan masa depan saya tetapi selepas pembedahan berkenaan, hidup saya berubah,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

