JOHOR BAHRU – Tidak sampai 24 jam, pasukan bola sepak popular tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan jersi baharu musim 2017, produk tiruannya sudah pun popular di pasar malam.
Menurut sebuah portal berita tempatan, jersi versi cetak rompak itu sebenarnya telah laris dijual bebas oleh peniaga tidak bertanggungjawab bermula 13 Januari lalu secara atas talian hingga dapat sambutan hangat!
Berdasarkan pemantauan rambang, jersi baharu JDT dari jenama popular antarabangsa Nike itu jika yang asli dijual RM139 namun edisi palsu pula dengan fabrik kurang bermutu jauh lebih murah iaitu hanya sekadar harga RM45.
Sebelum ini pasukan tersebut pernah menggunakan jenama Nike pada 2014 dan 2015 tetapi untuk musim tahun lalu JDT telah menggunakan jenama Adidas. Umumnya jersi itu berdasarkan warna pada bendera rasmi Johor sendiri.

Memandangkan ia agak terhad apabila cuma boleh didapati di kedai sukan tempatan Al-Ikhsan sejak awal Februari, ada peniaga mendakwa jersi JDT, yang sebenarnya versi cetak rompak; sudah mula dijual melalui laman sosial.
Seorang pengguna maya dilihat aktif mempromosikan jersi tiruan JDT menerusi akaun Facebook pada harga RM45 sambil mendakwa penjualan jersi pasukan secara tiruan bukanlah sesuatu perkara yang baharu di seluruh dunia.
“Semalam lancar hari ini sudah keluar jersi JDT yang tiruan,” kata seorang netizen laman sosial. Peniaga selalunya memberi alasan konon permintaan tinggi daripada peminat punca mereka terpaksa menghasilkan jersi versi tiruan.
Baca: Jersi P.Pinang Dikutuk Macam Baju Pendidikan Jasmani

Susulan itu, pihak polis Johor melalui kenyataan media dikeluarkan pada 31 Januari lalu menjelaskan, adalah satu kesalahan kegiatan membekalkan atau menawarkan jersi bola sepak JDT yang mempunyai cap dagangan palsu.
Berikutan aduan yang banyak diterima oleh pihak polis serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, agensi penguatkuasaan akan bertindak tegas mengesan peniaga jersi terbabit.
Kesalahan tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) malah orang ramai dan juga peniaga atas talian dinasihatkan serta diberi amaran agar tidak lagi melakukan kegiatan sedemikian.
Tindakan tegas serta dakwaan akan diambil ke atas mereka yang terlibat melakukan kesalahan tersebut, kata Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. dalam kenyataan tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

