PENYANYI Hazama membuat permohonan maaf atas tindakannya mengenakan baju celoreng dalam konsert pengenalan Mentor Milenia 2017, Ahad lalu.
Menurut penyanyi lagu Di Amaran Mama ini, dia tidak berniat langsung untuk memperlekehkan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mengenakan baju bercorak celoreng tersebut.
Baca: Hazama Dihentam Pakai Baju Celoreng Askar

“Sebenarnya, sebagai rakyat Malaysia saya juga berasa bangga mengenakan pakaian celoreng yang juga hasil sentuhan pereka fesyen Suffian Tugiman itu.
“Pada masa sama, saya juga ingin menggambarkan semangat kecintaan kepada negara kerana saya juga menyanyikan lagu Agi Idup Agi Ngelaban iaitu lagu tema filem Kanang Anak Langkau yang bakal ditayangkan nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Hazama berjanji akan lebih sensitif mengenai isu larangan pemakaian celoreng yang dikaitkan dengan pakaian seragam tentera pada masa hadapan.

Pada Ahad lalu, penampilan Hazama yang mengenakan baju celoreng dalam program Mentor Milenia 2017 mencuri tumpuan satu laman Facebook, Sokong Angkatan Tentera Malaysia yang bertindak mempersoal dan mengkritik tindakan penyanyi itu.
Dalam status itu menyatakan orang awam tidak boleh sewenang-sewengnya memakai pakaian tentera. – MYNEWSHUB.CC

