KUALA LUMPUR – Sekalipun dilahirkan tanpa anggota dari pinggul ke bawah, Muhammad Haziq Samrat tetap memilih sukan ekstrem seperti “wall climbing”, papan luncur atau longboard, renang, dan aktiviti tahan lasak lain untuk latihan kegemarannya.
Muhammad Haziq, 22, yang pernah menerima Anugerah Tokoh OKU pada satu sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan berkata, “Saya banyak buat aktiviti lasak sebagai hobi dengan menggunakan tangan yang menjadi kelebihan kepada saya.”
Pemuda ini yang bergerak menggunakan papan luncur merupakan lulusan dalam Diploma Animasi Kreatif.
Beliau adalah juga seorang pelakon berbakat dan pernah berlakon dalam drama bersiri Tanah Kubur siaran televisyen tempatan.
“Baru-baru ini saya ada terima tawaran daripada seorang penerbit untuk berlakon dalam sebuah lagi drama (tv)…perkara itu sedang dalam perbincangan,” katanya.
Muhammad Haziq begitu gigih mengharungi kehidupan hingga beliau menerima Anugerah Inspirasi Kolej Islam Antarabangsa (IIC).
Beliau berkata, sebagai anak bongsu daripada tujuh adik beradik dengan hanya seorang daripadanya perempuan, menjadikannya sentiasa aktif sejak kecil.
Muhammad Haziq berkata, kedua-dua bapanya, Samrat Mekah, 70, dan ibunya Narimawati Ab Jalil, 62, tidak pernah menyekat aktiviti lasaknya malah lebih suka beliau tidak ‘memerap’ di rumah.
“Ibu bapa saya memang menyokong saya sejak dari kecil lagi. Bagi mereka tidak guna menghalang saya dari melakukan perkara yang saya minat dan tak perlu ‘simpan’ saya di rumah hanya kerana saya kurang upaya,” katanya.
Walaupun aktif dalam pelbagai sukan lasak, Muhammad Haziq tetap bercita-cita untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi. – BERNAMA

