PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot dikendalikan seorang tekong dan tiga awak-awak nelayan Vietnam kerana menangkap gamat di perairan negara secara haram, semalam.
Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mamu Said Alee berkata bot dan kesemua nelayan berkenaan yang berumur antara 25 hingga 44 tahun ditahan ketika sedang menangkap gamat kira-kira 38.2 batu nautika dari pantai Tok Bali pada pukul 1.40 tengah hari.
“Setelah diperiksa oleh lima anggota APMM mendapati nelayan asing terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mamu berkata nelayan terbabit juga didapati menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan yang diklonkan bagi mengabui pihak berkuasa untuk melakukan aktiviti itu.
“Maritim Malaysia Wilayah Timur amat mengambil berat terhadap sebarang pencerobohan dari pihak luar khususnya nelayan asing yang sering mengaut kekayaan hasil laut negara,” katanya.
Beliau berkata bot serta nelayan berkenaan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel APMM di Tok Bali untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985. – BERNAMA
