KUALA LUMPUR – “Bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mengapa berlaku pertandingan tiga penjuru di kerusi-kerusi Pakatan Harapan asalkan kerusi PPBM kekal “satu lawan satu”.
Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim berkata, situasi itu menyebabkan PPBM tetap mahukan kerjasama PAS dalam PRU14 walaupun mengetahui PAS menolak kerjasama dengan sekutunya, Pakatan Harapan.
Jelas beliau, kerjasama dengan PAS bermakna PPBM akan mendapat laluan “satu lawan satu” di setiap kerusi yang ditandinginya kerana DAP, PKR, PAN telah pun menyatakan kesediaan memberi laluan kepada parti itu sebelum ini.
“PPBM mahu PAS, PAN dan PKR memberi laluan kepada mereka untuk berlawan dengan UMNO mengikut formula “satu lawan satu” di kerusi yang mereka tandingi nanti termasuk sejumlah kerusi yang akan PAS “hadiahkan” kepada mereka.
“Saya tidak nampak PPBM mampu memastikan PAS tidak meletakkan calon di kerusi PAN, DAP dan PKR. Dengan lain perkataan, PPBM rela kerusi PAN, DAP dan PKR ditandingi oleh PAS serta UMNO,” ujar beliau menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Zaid turut mempersoalkan mengapa PPBM yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup menawarkan kerjasama dengan PAS sedangkan Pengerusi parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sering dihina PAS.
Beliau yang juga seorang peguam dan bekas Ahli Parlimen berkata, PPBM rela ketua mereka iaitu Mahathir diperhina sebegitu rupa semata-mata kerana mahu “satu lawan satu” disetiap kerusinya menjadi kenyataan.
“Bagi mereka (PAS), Mahathir tidak berguna langsung, malah mereka mahu bekas Perdana Menteri itu bertaubat terlebih dahulu. Inilah sikap sombong ulama-ulama PAS.
“Apa maksud “satu lawan satu?” Bagi PPBM mereka mahu kerusi-kerusi yang mereka tandingi tidak disertai PAS, manakala PPBM pula tidak akan meletakkan calon di kerusi ditandingi PAS,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

