MELAKA – Mereka yang didapati masih menjual bebola kristal, Seven Colour Crystal Ball (SCCB), sejenis bahan yang berbahaya sekiranya tertelan terutamanya kanak-kanak, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Melaka, Jaiya Abu berkata di bawah akta itu mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata KPDNKK Melaka sentiasa menjalankan pemantauan terhadap larangan penjualan barangan itu dan telah menyita 1,745 unit SCCB bernilai RM1,220 dalam operasi di 30 premis antara 11 Jan lepas hingga semalam.
“Ia (operasi itu) menghasilkan tindakan empat kes iaitu dua kes peringkat pemborong dan dua kes lagi peringkat peruncit. Siasatan mendapati SCCB yang diimport dan dijual itu dikategorikan sebagai ‘kit pertumbuhan biji benih’.
“Barangan yang turut dikenali sebagai jeli kristal itu digunakan untuk membantu pertumbuhan pokok atau sebagai hiasan dalam pasu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Justeru katanya pengilang, pengimport, pengedar dan peruncit hendaklah menghentikan sebarang jualan, pembekalan, pengimportan dan pengilangan, membuat penarikan balik dan melupuskan barangan berkenaan secara selamat.
Insiden kanak-kanak tertelan SCCB yang dilarang jualannya oleh kerajaan sejak Ogos 2011 baru-baru ini telah menjadi tular di media sosial.
Dalam perkembangan berasingan, Jaiya berkata KPDNKK Melaka merampas pelbagai barangan bernilai RM10,020 atas pelbagai kesalahan di 361 premis bagi tempoh 1 Jan hingga semalam.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM7,550 melibatkan rampasan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan RM1,250 mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 serta RM1,220 mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Katanya kes tertinggi adalah di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan 10 kes diikuti Akta Timbang dan Sukat 1972 membabitkan lima kes manakala Akta Perihal Dagangan 2011 tiga kes.
Kutipan kompaun pula berjumlah RM1,400. – BERNAMA

