KELIHATAN seorang pelajar khusyuk membasahkan bibir dengan alunan zikir di suatu sudut ruang menunggu berhampiran kaunter imigresen. Lintas dihadapannya seorang yang lengkap berpakaian seragam lalu beliau disapa oleh seseorang yang begitu asing baginya.
“Assalamualaikum. Sedang tunggu siapa? Belajar di mana?” Soalan yang dilontarkan satu persatu kepadanya.
Pelajar tersebut menjawab setiap soalan yang diajukan kepadanya. Lantas pelajar tersebut di jemput dengan mesra ke pejabat dan dengan rasa cukup bangga bersetuju dengan pelawaan tersebut untuk pergi ke pejabat bersama-sama.

Semakin hampir kaki melangkah ke pejabat itu, matanya terlihat di hadapan pintu ada ditulis ‘Pejabat Ketua Pengarah Imigresen’. Alangkah terkejutnya apabila mendapat tahu bahawa seseorang berpakaian seragam yang mempelawa serta berjalan seiring bersamanya ke pejabat itu adalah merupakan Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Sri Haji Mustafar Haji Ali.
Pelajar tersebut dipersilakan duduk sambil diajukan beberapa soalan dan hasrat sebenar datang berurusan ke pejabat imigresen. Pelajar tersebut dibantu sebaiknya seperti mana pelanggan yang lain datang berurusan tanpa mengira kedudukan.
Jelas terpancar sinar kegembiraan di raut pelajar itu apabila segala urusan dapat diselesaikan segera dan beliau amat berterima kasih kepada Ketua Pengarah Imigresen yang memberi peluang untuk meluangkan masa membantu merungkai kekusutan permasalahan yang dihadapinya.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia

