KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di terminal bas, lapangan terbang, pusat bandar dan lebuh raya bersempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2017.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pengguna pengangkutan awam darat menikmati perjalanan yang selesa dan selamat tiba ke destinasi mereka.
“Dengan penambahan anggota penguatkuasaan, SPAD sedang mempergiatkan pemeriksaan kaunter jualan tiket, pemantauan terhadap ulat tiket dan pemeriksaan dokumen di terminal bas serta rondaan di lokasi yang dikenal pasti.
“Anggota SPAD turut melakukan operasi penyamaran bagi memantau pematuhan keselamatan dan tingkah laku pemandu bas ekspres,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nancy berkata, SPAD akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain dalam Operasi Bersepadu Khas Tahun Baru Cina yang bermula dari 21 Januari hingga 5 Februari 2016.
Kata beliau, operasi selama 24 jam sehari juga akan dilaksanakan antara 27 Januari hingga 1 Februari 2017.
“Selain daripada usaha penguatkuasaan, orang ramai digalakkan membuat laporan jika terdapat perlanggaran peraturan atau undang-undang melalui talian hotline 24 jam SPAD,” katanya.
Beliau dalam pada itu memberitahu, sejak 21 hingga 23 Januari lalu, sebanyak 27 kes kesalahan direkodkan termasuk satu kes tangkapan ulat tiket.
“Sebanyak 383 kenderaan telah diperiksa dan sebanyak lapan operasi penyamaran telah dijalankan oleh agensi penguatkuasaan SPAD dengan menaiki empat perjalanan menggunakan bas ekspres,” katanya. – Mynewshub.cc