KOTA TINGGI – Seorang lelaki ditemui lemas manakala rakannya masih hilang ketika mereka mandi di pantai Tanjung Balau, dekat sini, petang semalam.
Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Zon Kota Tinggi, Firdaus Ahmad berkata mangsa yang maut, K. Yougesvaran, 23, ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, berhampiran jeti Tanjung Balau, pada pukul 6.45 pagi ini.
Dalam kejadian 6.15 petang itu, katanya, mangsa dan rakannya, P. Saravanan, 23, dipercayai sedang mandi laut sebelum ditarik ombak yang kuat.
Menurutnya, sebaik panggilan kecemasan diterima daripada orang awam pada pukul 7.40 petang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan di lokasi kejadian.
“Keadaan laut bergelora, angin kencang serta ketinggian ombak mencecah kira-kira dua meter menyebabkan usaha mencari menggunakan bot tidak dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Firdaus berkata mayat Yougesvaran diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata operasi SAR yang masuk hari kedua itu bermula seawal pukul 7 pagi untuk mencari Saravanan.
Seramai dua anggota Balai Polis Bandar Penawar, sembilan anggota Bomba dan Penyelamat serta empat anggota Pasukan Polis Marin Pengerang terlibat dalam operasi SAR itu.
Katanya, mangsa dari Kulai itu datang ke pantai itu dengan menaiki kereta bersama dua lelaki dan seorang wanita serta sebuah keluarga seramai lima orang dengan menaiki lori.
“Hanya dua mangsa yang bermandi manda ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, operasi SAR masih diteruskan melibatkan rondaan dan pemantauan di lokasi kejadian dan persisiran pantai ekoran keadaan laut yang masih bergelora dan ombak yang kuat. – BERNAMA

